SEJARAH KAMPUNG PAHLAWAN LIMBANG

 

Limbang, sebuah pekan kecil di Sarawak terletak di antara Brunei di kedua-dua belah bahagian, menyaksikan pemberontakan tersebut. Sekumpulan penduduk tempatan yang juga anggota Tentera Nasional Kalimantan Utara (TKNU) diketuai oleh Salleh, menakluki pekan itu. Penduduk di situ mengelarnya perperangan yang dilupakan. TKNU ketika itu membantah pembentukan Malaysia. Ketika pemberontakan bersenjata itu, pemberontak telah membunuh empat konstabel polis. Mereka ialah Korperal Kim Huat, Konstabel Bujang Mohamed, Insoll Chundang dan Wan Jamaluddin Tuanku Alen, yang mempertahankan depot pekan. Pada masa itu, Sarawak adalah di bawah jajahan British dan secara teknikal masih di bawah perlindungan Britain.

"Saya sewaktu itu berjuang menentang penjajah, saya inginkan kemerdekaan buat Limbang," kata Salleh dalam satu temuduga dengan News Straits Times. Salleh, 79, adalah bekas penghulu Kampung Pahlawan. Limbang kemudiannya dibebaskan oleh tentera British. Kumpulan pemberontakan yang masih hidup pula melarikan diri ke dalam hutan yang berdekatan setelah tidak boleh menandingi jumlah tentera British yang lebih ramai.

Pekan itu kemudian kembali seperti biasa tetapi ianya tidak lama kerana Presiden Sukarno telah membuat pengisytiharan secara terbuka yang kumpulan pemberontak itu telah dibiayai oleh negaranya. Ini membawa kepada Konfrontasi. Salleh ditangkap selepas 6 bulan tinggal di dalam hutan. Dia didapati bersalah kerana mengangkat senjata menentang Pemerintah Diraja British dan dihukum 15 tahun penjara di Penjara Kuching. Sehingga sekarang Salleh masih berpegang kepada tindakan yang dilakukannya adalah sama dengan Rosli Dhobi, seorang lagi pemberontak. Oleh itu dia berkata dia patut digelar pejuang kebebasan dan bukan penjenayah.

Rosli telah membunuh Gabenor Sarawak, Sir Duncan Steward pada tahun 1949 ketika melawat Sibu. Dia telah ditangkap dan didapati bersalah membunuh Steward dan dihukum gantung sampai mati.

Pada ketika itu, dia digelar penjenayah, tetapi hari ini, Rosli dikenali sebagai pejuang kebebasan. Salleh berkata perjuangannya dan perjuangan Rosli mempunyai persamaan.

Salleh adalah bekas seorang anggota polis ketika di bawah jajahan British. Dia adalah pakar dalam menembak dan mahir dalam mengendalikan apa jua jenis senjata. "Hanya saya sahaja yang telah dilatih cara berperang dan menggunakan kepakaran saya melatih orang-orang saya dalam pemberontakan," katanya.

Dia berkata, rancangan mereka ialah untuk membebaskan Limbang dan menunggu kedatangan tentera Indonesia."Tetapi mereka tidak muncul dan kami terpaksa mempertahankan diri sendiri."

Pada hari keempat pemberontakan, penjajah British telah menghantar tentera dari Unit Komando 42 Marin Diraja yang ditempatkan di Singapura untuk membebaskan Limbang. Pasukan anggota marin tersebut telah mendekati pekan melalui Sungai Limbang dan meminta pemberontak menyerah diri.

Pemberontak melepaskan tembakan ke arah bot yang mendarat menyebabkan dua anggota marin terbunuh. Pasukan anggota marin yang mengelar peristiwa tersebut sebagai Limbang Raid kemudian membalas tembakan dan lubang-lubang hasil dari tembakan tersebut masih boleh dilihat pada bangunan-bangunan usang di pekan tersebut. Akhirnya, pemberontak mengalah dan melarikan diri. Pasukan anggota marin tersebut mengambil masa selama satu setengah jam untuk membebaskan pekan Limbang. Lima anggota marin British maut dalam peristiwa tersebut. Mereka ialah Sarjan Walter Grant, Gerald Kierans, Stewart Powell, Ronald David Formoy dan Richard Jennings.

"Saya kemudian ditangkap dan dipenjarakan selama 15 tahun. Pada mulanya saya dihukum selama 25 tahun. Tetapi saya mengaku bersalah di hadapan hakim.

"Dan saya masih ingat saya meminta supaya pemberontak lain dibebaskan. Saya sanggup menerima akibatnya sendiri dan saya juga memberitahu hakim yang saya sanggup dihukum gantung," kata Salleh.

Namun kedua-dua permintaannya ditolak dan dia dipenjarakan.

Setiap tahun sejak pemberontakan tersebut, acara meletakkan kalungan bunga diadakan di Tugu Peringatan Limbang yang berhadapan dengan sungai pekan itu untuk mengingati anggota-anggota marin yang terkorban.

Acara itu diadakan hasil usaha sama mereka yang mengalami peristiwa pemberontakan tersebut yang bermula pada 12 Dis, 1962.

**Sumber dari NST 1 Mei 2011